Berhati-hati Dengan 6 Penyakit Ini Ketika Banjir

Berhati-hati Dengan 6 Penyakit Ini Ketika Banjir


Banjir yang melanda sesuatu tempat, bukan sahaja membawa kepada kerugian besar harta, tetapi juga mendedahkan penduduk di situ kepada ancaman penyakit-penyakit berbahaya. Berhati-hatilah dengan 6 penyakit berikut, semasa musibah banjir:




LEPTOSPIROSIS


Leptospirosis ialah sejenis penyakit epidemik bawaan haiwan yang disebabkan oleh kuman Leptospira yang terdapat di dalam air kencing tikus, lembu dan kerbau. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia melalui luka terbuka pada kulit, melalui membran mukosa mata dan mulut. Sewaktu banjir, kemungkinan najis haiwan-haiwan ini bercampur dengan air banjir adalah tinggi.


Simptom


Pesakit yang dihidap penyakit Leptospirosis yang tidak serius kebiasaanya mengalami sakit kepala, demam, sakit otot, manakala untuk kes yang lebih serius, pesakit akan mengadu sakit mata, demam yang tinggi. Jangkitan yang merebak ke otak menyebabkan pesakit mengalami delirium dan lebih teruk koma. Dan jika merebak ke seluruh badan, boleh menyebabkan pendarahan dalaman dan akhirnya meningga dunia dalam masa yang singkat.


Cara Mencegah


Penyakit ini boleh dicegah melalui perkara-perkara berikut:
  • Elakkan berjalan dan berenang dalam air banjir yang tidak bergerak
  • Memakai boots setiap kali berjalan melalui air banjir untuk mengelakkan luka di kaki, mencegah gigitan haiwan di dalam air.


CHOLERA


Cholera ialah penyakit bawaan air dan makanan yang disebabkan oleh kuman Vibro cholerae, yang mana kuman tersebut diangkut oleh lalat. Semasa banjir, penduduk berisiko mendapat penyakit ini sekiranya meminum air yang kotor dan makanan yang tercemar.


Simptom


Pesakit biasanya mengadu cirit-birit beberapa kali setiap hari, sakit perut dan muntah-muntah. Untuk kes yang lebih serius, penghidap penyakit cholera ini boleh menghasilkan najis seperti bubur nasi dan berbau hanyir ikan.


Cara Mencegah


Penyakit ini boleh dicegah dengan mengamalkan makanan yang bersih dan dimasak secukupnya, dan mendidihkan air dengan baik terlebih dahulu semasa banjir.




TYPHOID FEVER


Penyakit ini disebabkan oleh kuman Salmonella typhi yang merebak melalui air dan makanan tercemar semasa banjir.


Simptom


Kebiasaanya, simptom penyakit ini tidak terus muncul sebaiknya mengambil kira-kira seminggu untuk ia menunjukkan manifestasinya. Pesakit biasanya akan mengalami sakit kepala, hilang selera makan, demam tinggi, cirit-birit, dan perut tidak selesa.


Cara Mencegah


Cara mencegahnya sama seperti cara mencegah penyakit cholera kerana cara penyakit tersebar juga melalui air dan makanan tercemar, terutamanya semasa banjir.



HEPATITIS A


Hepatitis A ialah keradangan hati yang disebabkan oleh virus hepatitis A yang boleh didapati melalui memakan makanan yang kotor dan tidak dimasak sepenuhnya semasa  .


Simptom


Pesakit akan mengadu demam rendah, hilang selera makan, sakit perut di bawah tulang rusuk sebelah kanan, mula mengalami jaundice (kulit dan sklera mata kekuningan). Walau bagaimanapun, penyakit ini akan mula pulih dengan sendiri selepas beberapa minggu.


Cara Mencegah


Cara mencegahnya sama seperti cara mencegah penyakit cholera kerana cara penyakit tersebar juga melalui air dan makanan tercemar.



CONJUNCTIVITIS


Penyakit "mata merah" ini disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis, disebabkan oleh alahan atau terdedah kepada bahan bertoksik. Ini kerana pesakit akan menggosok-gosok mata dengan tangan  atau sapu tangan yang kotor semasa banjir.


Simptom


Pesakit akan mengalami kegatalan mata, menyebabkan mata digosok-gosok secara berterusan, menyebabkan iritasi ringan pada mata dan penghasilan cecair berlebihan menyerupai nanah. Sebab itu pesakit biasanya memberitahu, sebaik bangun dari tidur, mata tidak dapat dibuka kerana adanya tahi mata yang terlalu banyak.


DEMAM DENGGI DAN DENGGI BERDARAH


Penyakit ini disebabkan virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes egypti. Musim hujan ialah musim terbaik untuk nyamuk-nyamuk ini bertelur. Terutamanya di kawasan yang terdapat air bertakung yang banyak.


Simptom


Denggi boleh menyebabkan simptom tidak spesifik yang biasa seperti demam, sakit kepala, sakit otot, dan boleh juga menyebabkan simptom-simptom yang lebih membimbangkan seperti muntah berterusan, pendarahan, sesak nafas, sakit perut. Jika keadaan lebih merisaukan, segeralah ke hosital untuk menentukan yang ianya bukan denggi berdarah.


Cara Mencegah


Pastikan persekitaran rumah tidak mengandungi bekas-bekas kosong yang boleh menakung air. Gunakan penyembur nyamuk dan kelambu untuk mencegah dari digigit nyamuk.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana membaca dan terima kasih atas komen anda.