Vaksin Pneumokokal - Apa Anda Perlu Tahu?

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menyarankan pengambilan suntikan vaksin pneumokokal sebagai vaksin tambahan bayi dan kanak-kanak, serta warga tua yang berusia 65 tahun dan ke atas. Ini kerana, penyakit pneumokokal boleh menjangkiti golongan-golongan ini terutamanya yang mempunyai paras imuniti yang rendah, mengakibatkan pelbagai komplikasi yang serius.





Sedikit info ringkas tentang penyakit pneumokokal:

  1. Penyakit pneumokokal ialah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae.
  2. Bakteria ini boleh memasuki badan melalui hidung, di mana ianya hidup berharmoni dan tidak membahayakan.
  3. Jangkitan berlaku apabila anda bersin, batuk dan mempunyai kontak yang rapat dengan bayi atau kanak-kanak.
  4. Antaranya, bakteria ini boleh mengakibatkan:
    • meningitis = jangkitan lapisan pelindung otak dan saraf tunjang
    • pneumonia = jangkitan paru-paru
    • acute otitis media = jangkitan akut telinga tengah
    • septicaemia = jangkitan dalam darah


VAKSIN PNEUMOKOKAL


Di negara kita, terdapat dua jenia vaksin pneumokokal untuk mencegah jangkitan serius oleh bakteria Streptococcus pneumoniae ini.

Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV13, Prevnar13)


  • memberi perlindungan terhadap 13 jenis bakteria pneumokokal yang kerap kali menyebabkan jangkitan yang serius
  • disarankan kepada semua kanak-kanak berusia 2 tahun dan ke bawah (dos diberi sebanyak maksima empat kali iaitu pada bulan ke 2, 4, 6 dan 12, sepanjang bayi berusia 15 bulan)
  • untuk orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas, hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja
  • bagi kanak-kanak berusia 2 tahun sehingga dewasa 64 tahun, hanya disarankan jika mempunyai masalah kesihatan yang meningkatkan risiko jangkitan
Kontraindikasi PCV13 termasuk:
  • alahan terhadap vaksin PCV13 yang pernah diterima sebelumnya
  • alahan terhadap vaksin PCV7 (vaksin pneumokokal terdahulu)
  • alahan terhadap vaksin yang mengandungi toxoid diphtheria (contohnya DTaP yang disuntik kepada bayi berusia 2, 3, 5 dan 18 bulan)
  • alahan terhadap mana-mana komponen dalam vaksin ini
  • pesakit tidak sihat seperti demam tinggi



Pneumococcal Polysaccharide Vaccine (PPSV23, Pneumovax23)

  • melindungi dari 23 jenis bakteria pneumokokal
  • disarankan untuk kanak-kanak 2 tahun dan ke atas, serta dewasa berusia 65 tahun dan ke atas (hanya satu dos diperlukan, dos seterusnya bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit)
  • juga disarankan kepada perokok berusia 19 sehingga 64 tahun


Kontraindikasi PPSV23:
  • bayi di bawah 2 tahun
  • alahan terhadap dos PPSV23 terdahulu, PCV7, vaksin yang mengandungi toxoid diphtheria atau mana-mana komponen di dalam vaksin ini
  • pesakit tidak sihat
  • ibu hamil (tiada bukti memudaratkan tetapi sebagai langkah berjaga-jaga)




Sejauh mana keberkesanan vaksin pneumokokal dalam memberi perlindungan terhadap penyakit pneumokokal?


Berdasarkan kajian, PCV13 berjaya melindungi:
  • 8 daripada 10 bayi dari jangkitan pneumokokal yang serius,
  • 75 daripada 100 orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas dari jangkitan yang serius,
  • 45 daripada 100 orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas dari jangkitan paru-paru (pneumococcal pneumonia)
Sementara itu, PPSV23 pula berupaya memberi perlindungan terhadap 50 hingga 85 daripada 100 orang dewasa sihat daripada jangkitan pneumokokal yang serius.


Kesimpulannya, lindungi bayi dan anak-anak kecil daripada jangkitan serius pneumokokal. Dapatkan vaksin dari mana-mana klinik yang menyediakan perkhidmatan ini.

Dengan memberi anak-anak suntikan vaksin, anda bukan sahaja melindungi anak-anak anda, tetapi juga melindungi anak-anak kecil dan kanak-kanak lain terutamanya yang ada kontraindikasi untuk vaksin atau belum sampai masa untuk disuntik.


"Prevent the preventable"


Sumber : CDC


KLINIK PUTRA
Cawangan Pokok Sena
04-5732685

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana membaca dan terima kasih atas komen anda.